The Best Fluffy Pancakes recipe you will fall in love with. Full of tips and tricks to help you make the best pancakes.

Tips Kewangan: 10 Kesilapan dalam Pengurusan Kewangan yang Biasa Ramai Lakukan

Cenderung kepada gaya hidup mewah dan ingin kelihatan sama dengan kehidupan orang lain yang lebih glamour merupakan salah satu kesilapan dalam pengurusan kewangan dan menjadi punca ramai terperangkap dengan hutang.

Cenderung kepada gaya hidup mewah dan ingin kelihatan sama dengan kehidupan orang lain yang lebih glamour merupakan salah satu kesilapan dalam pengurusan kewangan dan menjadi punca ramai terperangkap dengan hutang.

Secara asasnya, masalah urus kewangan dan risiko hutang yang tinggi boleh berlaku kepada sesiapa sahaja jika tidak tahu cara menguruskan kewangan secara berhemah dan boleh memberikan kesan yang berpanjangan kepada individu.

Berikut merupakan antara kesilapan pengurusan wang yang biasa dilakukan untuk rujukan anda:

10 Kesilapan dalam Pengurusan Kewangan yang Biasa Ramai Lakukan

Pengurusan Kewangan Usia 20-an

Dalam kategori usia awal 20-an sebegini, boleh dikatakan ada sebahagian daripada anda yang masih menuntut di universiti. Malah, mungkin ramai dalam kalangan anda yang baru sahaja menjejakkan kaki ke alam pekerjaan atau sedang membina kerjaya masing-masing. Oleh sebab itu, fasa ini penting untuk diberi perhati. Anda perlu berhati-hati dalam uruskan kewangan. Jika tersilap langkah, ia mungkin boleh memberi kesan pada pengurusan kewangan jangka panjang:

1. Amalkan Gaya Hidup Mewah

Bagi sesetengah orang yang mungkin pertama kali memegang duit hasil titik peluh sendiri, banyak perkara yang ingin dilakukan dengan duit gaji sendiri. Banyak perkara dalam bucket list yang perlu dipenuhi seperti gajet canggih, kereta pertama, pakaian berjenama atau melancong ke luar negara dengan menggunakan duit sendiri. Jika dahulu tidak mampu dibeli kerana masih belajar, kini boleh dibeli dan menjadi keutamaan dalam berbelanja.

Namun begitu, jika tidak dirancang dengan baik, ia boleh menyebabkan anda terbeban dengan komitmen bulanan yang tinggi lebih-lebih lagi jika kemahuan untuk berbelanja mewah ini melebihi kemampuan kewangan sendiri.

2. Tiada Simpanan Kecemasan

Biasanya, ramai dalam kalangan generasi muda yang baru mula bekerja tidak mempunyai kesedaran untuk menyimpan dan membelanjakan semua wang gaji dengan boros atas alasan waktu muda merupakan masa yang sesuai untuk enjoy dan berbelanja. Meskipun begitu, berbelanja secara tidak berhemah tanpa menyimpan boleh mendatangkan kerugian. Peruntukkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada gaji anda untuk simpanan atau kegunaan semasa kecemasan.

Sekurang-kurangnya, simpanan ini dapat membantu anda sekiranya menghadapi situasi kecemasan atau keperluan yang mendesak seperti kos rawatan masalah kesihatan dan sebagainya tanpa perlu meminta bantuan atau berhutang daripada orang lain.

3. Tidak Guna Kad Kredit dengan Betul

Secara asasnya, penggunaan kad kredit sangat baik lebih-lebih lagi jika anda mengamalkan cara guna kad kredit yang betul. Ia tidak menjadi masalah jika anda berdisiplin tinggi. Namun begitu, ramai dalam kalangan pengguna yang menggunakan kad kredit tanpa merancang kewangan dan berbelanja melebihi kemampuan. Meskipun secara asasnya kad kredit boleh memudahkan kehidupan anda, pembelian tanpa kawalan boleh menyebabkan anda terjerat dalam hutang jahat dan komitmen bulanan yang tinggi.

Tanpa perancangan kewangan yang betul, anda mungkin gagal membayar hutang kad kredit dan hanya mampu membayar nilai minimum setiap bulan yang pada akhirnya akan membebankan anda kerana jumlah faedah yang semakin bertambah.

Pengurusan Kewangan Usia 30-an

Apabila usia sudah mencapai three series, ramai dalam kalangan anda yang mungkin sudah mendirikan rumah tangga atau memiliki anak. Berikut merupakan antara kesilapan dalam pengurusan kewangan yang biasa dilakukan dalam kategori usia 30-an ini:

4. Tiada Perancangan Perbelanjaan 

Banyak komitmen dan perbelanjaan yang perlu dipertimbangkan lebih-lebih lagi jika anda sudah mempunyai keluarga sendiri. Biasanya, tanggungjawab dan komitmen menjadi lebih besar dan berganda berbanding semasa bujang. Jika dahulu anda hanya perlu memikirkan kos keperluan asas seperti makanan dan pakaian, tetapi kini anda juga perlu ambil kira kos-kos lain seperti bayaran ansurans beli rumah pertama, kos taska, pengasuh dan sebagainya.

Ramai yang memandang mudah kepentingan merancang perbelanjaan seperti simpanan pendidikan anak-anak terutamanya apabila memasuki usia 30-an. Ini kerana, mereka berpendapat selagi anak belum besar, simpanan pendidikan tidak penting. Namun sebenarnya, simpanan perlu dibuat seawal mungkin atau sebaik sahaja anak anda lahir lebih-lebih lagi jika anda mempunyai anak yang ramai. Anda boleh pertimbangkan untuk menyimpan dalam tabung pendidikan anak seperti SSPN, Tabung Haji dan sebagainya.

5. Tiada Kesedaran Tentang Insurans

Bagi individu yang bekerja swasta, kebanyakan syarikat tempat bekerja menawarkan perlindungan insurans berkelompok untuk semua kakitangan sebagai salah satu manfaat ditawarkan syarikat. Oleh sebab itu, ramai yang memilih untuk tidak memiliki insurans nyawa persendirian kerana berasakan ia suatu pembaziran untuk memiliki dua insurans nyawa dalam masa yang sama. Namun begitu, anda perlu mempertimbangkan sekiranya anda berhenti atau diberhentikan kerja, insurans berkelompok yang dicarum oleh majikan akan turut terhenti serta-merta.

Bagi perlindungan insurans kesihatan atau insurans nyawa, anda perlu mendapatkannya seawal mungkin. Ini kerana, harga premium insurans akan menjadi semakin mahal jika usia anda semakin meningkat kerana mengambil kira risiko keperluan tuntutan anda yang lebih tinggi

Pengurusan Kewangan Usia 40-an 

Biasanya, ramai yang sudah memiliki sumber pendapatan yang stabil dan jawatan yang lebih tinggi dalam usia sebegini. Meskipun begitu, jika pengurusan kewangan masih tidak dirancang dengan betul anda mungkin terjebak dengan kesilapan-kesilapan biasa yang sering dilakukan oleh individu yang berusia sekitar 40-an:

6. Tidak Semak Portfolio Pelaburan 

Portfolio kewangan merujuk pada aset kewangan dalam bentuk kumpulan yang dimiliki oleh pelabur yang merangkumi saham, bon dan pelbagai instrumen kewangan lain dalam portfolio tersebut. Setiap portfolio pelaburan ini mempunyai risiko yang tersendiri. Dalam erti kata lain, wang dilabur boleh menjadi pulangan yang menguntungkan atau kerugian yang tidak dijangka.

Ramai dalam kalangan pelabur ingin mendapatkan keuntungan dengan cepat tanpa ilmu yang mencukupi. Meskipun sebagai pelabur anda perlu berani mengambil risiko, anda disarankan untuk belajar menguruskannya untuk mendapatkan keuntungan yang optimum. Ketahui tips menguruskan risiko bagi sesebuah portfolio untuk mengelakkan anda daripada menghadapi kerugian.

7. Tidak Merancang Masa Depan

Aspek pelaburan (seperti simpanan ASB, simpanan persaraan KWSP) dan perancangan kewangan (hibah dan insurans takaful) adalah perkara yang perlu dititikberatkan bagi memastikan kehidupan yang lebih sejahtera. Dengan cara ini anda dapat mengenal pasti perbelanjaan, simpanan dan komitmen sedia ada bagi membantu anda merancang kewangan anda dengan lebih baik terutamanya apabila tiba usia persaraan.

Selain itu, ia juga boleh dijadikan persediaan untuk kelangsungan hidup anda dan keluarga anda sekiranya anda hilang sumber pendapatan akibat musibah yang menimpa seperti kemalangan, kematian dan sebagainya.

Pengurusan Kewangan Usia 50-an

Apabila mencecah usia 50-an, kebanyakan daripada anda mungkin sudah menghadapi usia persaraan. Namun begitu, jika tidak dirancang dengan baik boleh menyebabkan berlaku kesilapan pengurusan kewangan seperti berikut:

8. Salah Guna Simpanan Persaraan

Secara asasnya, KWSP membenarkan pengeluaran sebahagian atau kesemua baki KWSP Akaun 2 apabila mencapai umur 50 tahun untuk digunakan sebagai persediaan untuk persaraan anda. Namun begitu, ramai yang menyalahgunakan dana ini dengan membuat perbelanjaan tidak perlu atau membayar yuran pengajian anak-anak di universiti. Meskipun anda boleh buat apa sahaja dengan wang anda, anda sepatutnya menggunakan dana ini sebagai persediaan persaraan anda.

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan, seseorang individu perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM240,000 dalam KWSP untuk perbelanjaan hari tua berdasarkan faktor umur rakyat Malaysia yang semakin lama semakin panjang.

9. Melabur Tanpa Berfikir Panjang

Kes penipuan skim pelaburan atau scammer biasanya menyasarkan golongan dalam usia sebegini. Berdasarkan statistik Jabatan Siatan Jenayah Komersial Bukit Aman, ramai individu sewenang-wenangnya mengeluarkan duit simpanan untuk melabur dalam skim pelaburan yang menjanjikan pelbagai pulangan dalam masa yang singkat. Malah, ada yang buat pinjaman peribadi daripada bank sehingga mencecah ratusan ribu ringgit demi mengejar keuntungan palsu.

Bagi anda yang menghampiri umur persaraan, anda disarankan untuk menyemak semula portfolio pelaburan dan selidik terlebih dahulu pelaburan ditawarkan sebelum melabur. Berhati-hati sebelum membuat keputusan pelaburan, dan berfikir secara kritikal dan rasional.

10. Berhenti Bayar Insurans Kesihatan

Secara asasnya, kadar premium insurans kesihatan anda akan menjadi lebih mahal selari dengan usia anda. Oleh sebab itu, ramai yang memilih untuk berhenti membayar insurans untuk memberi fokus kepada perbelanjaan atau perkara lain yang lebih penting. Walau bagaimanapun, anda tidak disarankan untuk membuat kesilapan ini dan meneruskan pembayaran insurans seperti biasa. Ini kerana, semakin berusia umur anda, semakin tinggi risiko anda terdedah dengan pelbagai risiko penyakit seperti kolestrol, serangan jantung dan sebagainya. Malah, bil rawatan perubatan di hospital juga boleh melambung tinggi.

Kredit : qoala.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *